• Yang Iskandar

Kata Bantu!


Salam dan Selamat Sejahtera!

Dalam #StrategiSelasa minggu-minggu yang lepas, kita telah mempelajari Kata Pemeri dan Kata Nafi.

Kali ini, kita akan bincangkan komponen bahasa yang dinamakan Kata Bantu pula.

Apa itu Kata Bantu?

Kata bantu ialah kata yang digunakan unutuk menerangkan perbuatan pada suatu masa atau ragam yang berkenaan dengan sesuatu perbuatan.

Kata Bantu boleh dibahagikan kepada kata bantu aspek dan ragam.

Kata Bantu Aspek

Berkaitan dengan masa ; pada masa kini, pada masa hadapan dan pada masa lalu.

Contoh :

Akan - Kita akan mencapai keputusan yang cemerlang jika kita bekerja keras.

Belum - Suri belum lagi mengemas barang-barangnya walaupun disuruh ibu.

Pernah - Borhan pernah ternampak artis terkenal itu semasa berjalan-jalan.

Sedang - Saya sedang menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh guru ketika bekalan elektrik terputus.

Telah - Hamid telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan ini tahun lalu.

Kata Bantu Ragam

Berkaitan dengan perbuatan.

Contoh:

Boleh - Menabung boleh memberi kita kesenangan pada masa hadapan.

Dapat - Akhirnya saya dapat juga melawat nenek dan datuk di rumah mereka.

Harus - Kita harus menjaga kebersihan alam sekitar dengan sempurna.

Mahu - Ani mahu pergi bercuti ke Korea pada cuti sekolah tahun depan.

Mesti - Murid-murid mesti mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan.

Kami harap maklumat ini dapat menolong anda dalam peperiksaan bahasa Melayu anda nanti.

Selamat maju jaya adik-adik!

#StrategiSelasa bersama Pusat Bahasa Nusa


55 views