• Yang Iskandar

8 pembukaan karangan yang baik!


Pembukaan karangan yang baik akan memancing minat pembaca untuk terus membaca.

#StrategiSelasa kali ini akan kongsikan cara-cara untuk menulis pembukaan karangan yang baik.

1. IMBAS KEMBALI

Setiap kali aku duduk mengulang kaji pelajaran, pasti tanganku akan mula memintal-mintal rantai berloketkan sebentuk hati yang tergantung di leherku. Walaupun rantai ini murah sahaja, ia terlalu berharga pada diriku. Rantai inilah yang menjadi galang ganti sahabat karibku, Sara. Masih terpahat di ingatanku saat Sara menghadiahkan rantai itu kepadaku dari katil hospitalnya.

2. DIALOG

"Man, orang kata malang tidak berbau. Walaupun kau berhati-hati, kemalangan masih boleh terjadi," nasihat Aliff lembut.

"Alah! Aku rimaslah memakai topi keledar. Bukankah kita hanya berbasikal?" bantah Azman sambil menyumbatkan topi keledar ke dalam beg galasnya.

3. MONOLOG

"Tidak kupinta dilahirkan begini. Aku juga layak belajar di sekolah ini," getus hati Aqilah.

Gadis ayu berlesung pipit itu mendorong kerusi rodanya secepat mungkin meninggalkan kumpulan pelajar yang sedang asyik menjadikannya bahan tontonan mereka.

4. TINDAKAN WATAK

Pada pagi yang hening itu, seperti biasa Amirah mencium tangan ibunya sebelum melangkah keluar untuk ke sekolah. Ibunya yang masih terbatuk-batuk itu pula sempat mengusap rambutnya sambil memberikan pesanan agar jangan lupa membaca doa dan belajar bersungguh-sungguh.

5. AYAT PENDEK

Fikiranku buntu. Jam di dinding menandakan waktu sudah hampir jam sebelas malam. Ibu, ayah dan adik-adikku yang lain semuanya sudah lama diulit mimpi.

6. KESAN BUNYI

"Aargh!"

Ahmad ketawa terbahak-bahak melihat kakaknya yang sedang terlompat-lompat ketakutan melihat seekor katak kecil berada di dalam beg sekolahnya.

7. PEMERIAN LATAR

"Lelong! Lelong!" Suara nyaring penjual menarik pelanggan bersahut-sahutan. Tiba-tiba aku menjadi gerun melihat lautan manusia yang sedang berasak-asak mencari keperluan Hari Raya mereka. Baru selangkah kuambil, kakiku terbenam di dalam lopak. Hampir-hampir aku menangis melihat lumpur terpercik pada seluar putihku.

8. PERIBAHASA/PEPATAH

Belakang parang kalau diasah lama-lama menjadi tajam. Itulah yang sering diucapkan oleh Cikgu Suzy kepada kami sekelas. Beliau merupakan seorang guru baru yang ditugaskan untuk mengajar kami mata pelajaran Matematik.

Kami harap anda dapat menggunakan idea-idea ini dalam penullisan karangan anda nanti. Selamat mencuba! :)

#StrategiSelasa bersama Pusat Bahasa Nusa

858 views