• Sara Syaria (Pelajar Darjah 6)

Karangan Contoh PSLE: Pengalaman Membantu Seseorang

“Mak Cik, di mana rumah Mak Cik?” Aku bertanya kepada seorang perempuan tua yang aku jumpai di tepi perhentian bas. Wajahnya kelihatan lesu dan pucat. Pakaiannya compang-camping dan di sebelahnya kelihatan beberapa buah beg. Aku berasa hiba memandang warga tua itu.

Ketika itu, aku baru sahaja melangkah keluar dari sekolahku. Manik-manik keringat mengalir di pipi gebuku disebabkan oleh cuaca panas terik. Aku memerhatikan warga tua itu sambal menunggu jawapannya. Namun, dia hanya melihat aku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dan mengabaikan pertanyaanku seperti aku seorang makhluk asing yang muncul di hadapannya. Aku pun mendiamkan diri sahaja. Aku ingin membantu warga tua itu tetapi oleh sebab dia tidak menghiraukan aku, aku pun tidak berkata apa-apa. Kebetulan, warga tua itu juga menaiki bas yang sama denganku. Dia duduk berhadapan denganku di dalam bas. Sepanjang perjalanan, dia leka melihat ke luar tingkap seperti seorang yang kebingungan. Aku dapat melihat uban penuh di kepalanya. Aku terkenang akan bau bedak yang sering digunakan oleh arwah nenekku.

Memandangkan aku hanya perlu menuruni bas di stesen terakhir, aku pun mengeluarkan fon kepalaku dan mendengar muzik kegemaranku. Aku menutup kelopak mataku dan menyandarkan kepalaku di tingkap bas. Selepas 30 minit berlalu, aku membuka mataku dan mendapati bahawa warga tua itu masih di hadapanku. Aku pun turun di stesenku. Sekali lagi, warga tua itu mengikut aku. Aku berjalan pulang seperi biasa namun aku memerhatikan bahawa warga tua itu tetap mengikut semua langkahku. Hatiku mula berdegup kencang.

“Adakah aku diikutinya? Mengapa dia mengikuti aku? Mampukah seorang warga tua yang tidak kuat membahayakan aku?” hatiku berbisik.

Aku cuba bertenang dan berjalan perlahan-lahan. Apabila aku menoleh untuk melihat warga tua itu, dia dengan pantas memandang ke lantai seperti seorang yang bersalah. Aku berfikir panjang sambil mempercepat langkahku. Aku pun membuat keputusan untuk menyoal warga tua itu.

“Mak Cik, mana Mak Cik ingin pergi? Mak Cik tinggal di blok 242 kah?” aku menyoalnya dengan sopan santun.

Kali ini barulah aku terdengar suaranya. Dia teragak-agak hendak memberitahu alamatnya. Dia menggaru-garu kepalanya dan masih terdiam. Aku pun menyoal namanya tetapi dia tetap tidak mahu membuka mulut . Aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Akhirnya, aku memutuskan untuk mengambil beg plastik itu dari tangannya dan memimpinnya. Janggal rasanya menyentuh tangannya yang kasap dan berkedut-kedut.

Aku berfikir mengapa aku ingin membantunya. Mungkin dia hanya berpura-pura sahaja. Aku boleh melepaskannya begitu sahaja dan melarikan diriku. Namun, aku berasa terlalu simpati terhadapnya. Aku ingin membawanya ke balai polis dan membuat laporan.

Tiba-tiba, dia melepaskan genggaman tanganku. Dia bertanya siapa diriku. Aku menyuruhnya bertenang. Aku memberitahu warga tua itu bahawa dia akan selamat kerana aku akan membawanya ke balai polis. Ketika mendengar perkataan ‘balai polis’, dia bertambah cemas. Dia menolak aku untuk melindungi dirinya. Jatuh terduduk aku dibuatnya. Mujurlah, aku tidak cedera. Aku mencari warga tua itu tetapi dia sudah hilang.

Aku bergegas ke balai polis dan melaporkan tentang kehilangan wanita tua itu. Anggota yang bertugas segera meronda kawasan perumahanku untuk mencari wanita itu. Aku menunggu dengan sabar. Akhirnya, setelah sejam menunggu, 2 orang pegawai polis berjaya menjumpainya. Warga tua itu bernama Puan Salwah. Polis telah menelefon anak tunggalnya, Encik Hamid dan isterinya. Pasangan itu segera pergi ke balai tersebut. Mereka menerangkan bahawa Puan Salwah mempunyai penyakit demensia. Barulah aku faham.

Mereka telah mengucapkan ribuan terima kasih kepadaku. Pegawai polis yang bertugas juga telah memujiku kerana sanggup bersusah payah membantu Puan Salwah. Encik Hamid mempelawa untuk menghantarku pulang ke rumah untuk membalas jasaku. Beliau juga tidak mahu ibu bapaku risau kerana pulang lewat. Aku menerima pelawaannya dengan senang hati. Sepanjang perjalanan, aku berasa bangga dengan sumbangan kecilku kepada Puan Salwah sekeluarga. Indah sungguh rupanya perasaan setelah menghulurkan bantuan kepada seseorang yang memerlukan.

65 views