• Pusat Bahasa NUSA

Karangan Contoh PSLE Tema: Satu Dilema


Pembukaan

“Azman, tunggu dulu!” Aku berteriak meminta Azman menungguku.

“Fauzi, aku ada hal sedikit hari ini. Pulang dulu ya!” balas Azman tanpa menoleh sedikit pun ke arahku. Hari itu, aku berjalan pulang ke rumah seorang diri, tanpa Azman, sahabat baikku. Hatiku terasa begitu berat, seberat beg sekolah yang aku galas. Selalunya jika hari terlalu panas, kami akan berhenti di sebuah kedai buah-buahan untuk menikmati jus tembikai sedingin salju. Namun, pada hari itu, aku sedikit pun tidak berselera. Aku benar-benar merasakan perubahan pada diri Azman sejak dia mula berkawan rapat dengan Sani, seorang pelajar baru di sekolah kami.

Permulaan masalah

Sedang aku asyik melayan perasaan hampa, pandanganku tiba-tiba tertumpu pada sekumpulan pelajar yang berpakaian seragam sekolahku di kolong sebuah blok yang berhampiran dengan sekolah. Perasaan ingin tahuku mula meluap-luap. “Siapakah pelajar-pelajar itu dan apakah yang sedang mereka lakukan,” getus hatiku. Aku mempercepatkan langkahku dan menuju ke arah mereka. Hatiku bagai kaca terhempas ke batu melihat Azman, Sani dan teman-teman mereka sedang asyik bergurau senda sambil merokok. Kehadiranku langsung tidak mereka sedari.

Masalah ( konflik dalaman )

Aku cepat-cepat menyembunyikan diri di balik tembok. Dadaku berombak-ombak menahan kemarahan. Sudah aku jangka Sani akan mempengaruhi Azman membuat perkara yang tidak elok. Aku pernah menasihati Azman tetapi dia menuduh aku cemburu kerana mereka berkawan rapat. Serba salah aku dibuatnya. Jika aku melaporkan perkara ini kepada pengetua, pasti Azman juga akan didenda. Sudah tentu aku akan kehilangan sahabat karibku ini. “Apa yang harus aku lakukan?” jerit batinku.

Klimaks

Dengan kaki yang bagai dipasung, aku melangkah pulang ke sekolah. Aku telah mengambil keputusan untuk melaporkan perkara ini kepada guru kelas kami, Cikgu Saiful. Cikgu meminta aku segera menunjukkan jalan supaya beliau dapat bersemuka dengan pelajar-pelajar tersebut. Dalam hatiku, aku berdoa agar Azman sudah berlalu dari situ. Malangnya, apabila kami tiba di kolong blok itu, mereka semua masih seronok bernyanyi sambil menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul.

“Hoi! Apa kamu semua buat hah?” Cikgu Saiful tiba-tiba menjerkah Sani dan kuncu-kuncunya itu. Mereka begitu tergamam hingga puntung rokok di tangan pun dibiarkan jatuh sahaja. Wajah mereka satu-satu pucat macam mayat. Aku hanya menundukkan wajah kerana tidak sanggup bertentang mata dengan Azman.

Penyelesaian

“Pembelot!” Azman mendengus. Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan kami pulang ke sekolah. Kami semua terpaksa berhadapan dengan pengetua petang itu juga. Walaupun sukar, aku terpaksa melaporkan perkara yang sebenar. Rasa bersalahku semakin bertambah apabila bertemu ibu bapa Azman yang telah dipanggil ke sekolah. Mereka juga seakan-akan tidak mahu memandangku. Apakan tidak, Azman dan teman-temannya telah digantung sekolah selama seminggu dan perlu menghadiri sesi kaunseling.

Penutup

Persahabatanku dengan Azman masih dingin hingga sekarang. Aku faham perasaan marahnya terhadapku sukar hendak dipadam. Puas aku menerangkan kepadanya bahawa aku hanya mahu membantunya pulang ke pangkal jalan. Aku hanya dapat berdoa suatu hari nanti kami akan sekali lagi menjadi sahabat sejati seperti isi dan kuku.


0 views