• Yang Iskandar

TIP KARANGAN: MENULIS UNSUR SASPENS

Unsur saspens ialah teknik menulis dalam karangan cerita atau cerpen yang digunakan untuk mewujudkan rasa cemas atau tertanya-tanya kepada pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya. Menulis teknik ini perlu menggunakan beberapa urutan (step) dan tidak menerangkan sesuatu kejadian secara langsung seperti teknik pemerian. Mari kita lihat perbezaan teknik ini dengan pemerian.

Contoh ayat Pemerian:

Abu memanggil-manggil Si Puteh sambil membawa makanan Si Puteh. Tetapi Si Puteh tiada si situ. Abu terus mencarinya, tetapi tidak jumpa. Abu berasa pelik kerana baru sebentar tadi dia melihat Si Puteh bermain. Tiba-tiba abu menjadi cemas apabila ternampak pintu rumahnya terbuka. Pasti Si Puteh telah keluar rumah.

Contoh Unsur Saspens:

Abu memanggil-manggil Si Puteh sambil membawa makanan Si Puteh. Namun suasana tidak seperti biasa. Tidak kedengaran bunyi ngiauan Si Puteh seperti selalu. Abu mencari di sekeliling, tetapi suasana terus sepi.

“Di manakah Si Puteh? Bukankah Si Puteh bermain di ruang tamu sebentar tadi?” Abu tertanya-tanya.

Tiba-tiba Abu terpandang sesuatu. Dada Abu menjadi sesak dan jantungnya berdegup kencang bagai dilanda ribut taufan. Alangkah terperanjatnya Abu. Rupa-rupanya pintu rumahnya terbuka. Mungkinkah Si Puteh telah keluar dari rumah?

Cuba gunakan teknik ini dalam karangan. Pasti lebih menarik!

0 views