Karangan Contoh PSLE Tema: Kecurian

22 Sep 2019

 

Pembukaan

 

“Aku baru sahaja mendapat telefon bijak ini semalam,” kata Siti sambil menayangkan telefon bimbitnya itu.

 

“Wah! Canggihnya telefon awak. Saya pun mendapat telefon bimbit yang baru beberapa hari yang lepas,” balas seorang lagi pelajar.

 

Perbualan rancak antara teman-teman sedarjahku menerjah gegendang telingaku sebaik sahaja aku memasuki kelas. Serta-merta perasaan cemburu menyelinap masuk ke dalam lubuk hatiku. Hanya aku seorang yang tidak memiliki sebuah telefon bijak. Lahar kemarahan membuak-buak setiap kali aku melihat teman-temanku menayang-nayangkankan telefon bimbit mereka di hadapanku.

 

Permulaan masalah

 

Petang itu aku mengumpulkan segala keberanian yang ada dalam diriku untuk memujuk ibu dan ayah agar membelikanku sebuah telefon bijak. Malangnya, segala alasan yang kuberikan ditolak bulat-bulat oleh mereka. Hatiku bagai ditusuk sembilu mendengar tuduhan ayah bahawa aku tidak tahu bersyukur dengan apa yang aku ada. Ibu cuba memujuk dengan mengatakan bahawa aku masih terlalu muda untuk memiliki sebuah telefon bijak.

 

Masalah

 

Pada keesokan harinya, Siti yang memang bermulut celupar sengaja bertanya dengan nada sinis sama ada aku berjaya mendapatkan sebuah telefon. Jelingan yang kuberikan dibalas dengan hilai tawa yang membingitkan. Dadaku berombak-ombak menahan kemarahan. Pagi itu aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana kotak mindaku berputar ligat memikirkan langkah untuk membalas dendam kepada Siti. Akhirnya aku nekad melakukan sesuatu yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini.

 

Apabila loceng berdering menandakan waktu rehat telah tiba, teman-teman sekelasku bergegas keluar menuju ke kantin. Aku pura-pura mengemas barang-barangku di atas meja hingga tiada siapa yang tinggal di dalam kelas kecuali aku. Secepat kilat aku membuka zip poket hadapan beg Siti dan mengambil telefon bimbitnya. Aku membalut telefon itu dan menyumbatkannya ke dalam kocek seluarku. Pada saat itu aku tersenyum puas!

 

Sekembalinya kami semua ke kelas, aku memerhatikan dengan penuh debaran gelagat Siti yang cuba mencari telefon bimbitnya. Air muka Siti sudah mula berubah dan teman-teman rapatnya berkerumun di mejanya untuk membantunya. Mereka segera melaporkan kehilangan telefon bimbit itu kepada Cikgu Aishah sebaik sahaja dia memasuki kelas.

 

Klimaks

 

“Bukankah sudah saya larang kamu membawa telefon bijak ke sekolah?” kata Puan Lim melahirkan kejengkelannya. Esakan Siti semakin menjadi-jadi selepas mendengar teguran Puan Lim. Kawan baiknya cuba memujuk tetapi tidak berjaya. Puan Lim mula memeriksa beg-beg kami. Jantungku berdegup kencang bagai hendak putus. Peluh sejuk membasahi tubuhku. Hatiku berbelah-bagi. Haruskah aku memulangkan telefon itu sebelum rahsiaku terbongkar?

 

“Krriing!”Nasibku sungguh baik. Waktu pelajaran Cikgu Aishah sudah tamat dan dia perlu segera pergi ke kelas lain. Cikgu tidak sempat memeriksa kocek kami! Walau bagaimanapun, aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran seterusnya kerana asyik memikirkan tentang telefon bimbit Siti.

 

Penyelesaian

 

Selepas sekolah, aku tidak boleh menahan lagi rasa bersalah yang sedang menghimpit hatiku. Dengan kaki yang tiba-tiba lemah, aku melangkah perlahan ke arah bilik guru untuk bertemu Cikgu Aishah. Kerongkongku mula kering apabila berhadapan dengannya. Dengan tangan yang terketar-ketar aku menghulurkan telefon bimbit Siti kepada Cikgu Aishah tanpa berkata apa-apa. Dengan mata yang membuntang dan wajah yang menyinga, Cikgu Aishah merampas telefon bimbit tersebut dari tanganku dan menuntut aku supaya menjelaskan keadaan.

Cikgu Aishah kemudian mengheret aku ke bilik pengetua dan menelefon ibu bapaku. Sebaik sahaja ibu bapaku tiba di pejabat, aku mula menangis teresak-esak. Perasaan takut dan malu bercampur-baur. Aku hanya menundukkan wajahku mendengar hukuman yang dijatuhkan oleh pengetua. Tidak sanggup aku mengangkat muka melihat wajah kecewa ibu dan ayah. Aku perlu meminta maaf kepada Siti semasa perhimpunan pagi di dewan. Memandangkan aku segera memulangkan telefon tersebut, hukumanku diringankan dan aku hanya didenda mengutip sampah seluruh sekolah selama seminggu. Di rumah pula aku tidak dibenarkan menonton televisyen dan bermain komputer selama sebulan.

 

Penutup

 

Aku benar-benar menyesal kerana sanggup bertindak sebodoh ini. Hingga kini teman-teman sering mengesyaki aku jika ada sesuatu yang hilang. Tidak ada apa yang dapat aku lakukan kerana nasi sudah menjadi bubur. Inilah yang dikatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Please reload

Featured Posts

Marilah Belajar Peribahasa!

17 Jul 2018

1/3
Please reload

Recent Posts
Please reload

Archive